Friday, June 25, 2010

BIAR JASA JADI KENANGAN

*************************************************************************

Al-Fatihah

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيم

الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِين

الرَّحْمـنِ الرَّحِيم

مَـالِكِ يَوْمِ الدِّين

إِيَّاك نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِين

اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين

*************************************************************************


"Biar Jasa Jadi Kenangan"

Yakinkanlah diri sendiri
Berjuanglah sejiwa murni
Tekun berani seungguh hati
Demi sukan mengharum negeri,

Biar jasa jadi kenangan
Hijau Kuning lambang kemegahan
Jelapang padi tempat sanjungan
Negeri Kedah Darul Aman,

Kedah! Kedah pantang kalah!
Walau sakit jatuh dan rebah
Bangun lantas semula gagah
Bujur lalu melintang patah,

Hijau Kuning tanahku
Darulaman negeriku
Hijau Kuning darahku
Negeri Kedah negeriku..
Negeri Kedah negeriku...



*************************************************************************


Belasungkawa: Ahmad Basri ikon bola sepak

Oleh Ahmad Khawari Isa

Pingat emas Sukan Sea 1989 peninggalan terakhir untuk Malaysia

BAIT pembuka lagu 'Biar Jasa Jadi Kenangan' - lagu menunjangi setiap cabaran aksi skuad Kedah - cukup jadi gambaran wibawa dimiliki penulis liriknya, Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil.

Berita kepulangan Allahyarham ke rahmatullah, petang semalam, hadir jelas sebagai kejutan. Kerana selama lebih dua dekad sebelumnya, kelibat dan wajah hitam manis miliknya diakui begitu sinonim dengan bola sepak negara.

Sayanginya - itulah rasa dikongsi ratusan ribu warga negeri Jelapang Padi yang berbangga apabila penantian sekian lama buat merangkul Piala Malaysia jadi kenyataan julung kalinya, 18 tahun lalu.

Ada juga yang pernah membenci, terutama mereka yang sesekali jadi mangsa kelantangan kecamannya. Tetapi seperkara pasti, Allahyarham adalah tokoh sukan yang kini wajar diingati dengan penuh rasa disegani.

Allahyarham bukan pemain bagus, tetapi peminat yang setia. "Saya suka bermain bola sepak, tetapi bukannya bagus. Tetapi saya cintakan sukan ini dan tidak pernah mahu menyisihkan diri daripadanya," katanya suatu ketika dahulu.

Penghormatan selaku 'Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah' memang paling layak miliknya. Menerusi visinya, Hijau Kuning bangkit untuk kini berdiri sama tinggi dalam kelompok barisan gergasi.

Satu bukti pengorbanan Allahyarham, yang tidak pernah dicanangkan, ialah kesediaan meletakkan kebajikan pemainnya selaku agenda utama - terbukti menerusi kesanggupan mengambil pinjaman peribadi pada hampir setiap hujung musim demi memastikan gaji pemain dibayar ketika sedar wang geran dan penajaan sering terlewat.

Malah sehingga kini, Allahyarham kekal dengan pengiktirafan selaku pengurus skuad negara terakhir mencipta bangga apabila memimpin pasukan memenangi pingat emas Sukan Sea - pencapaian diraih di Stadium Merdeka pada 1989.

Allahyarham juga menginspirasikan plan dasar pembangunan belia - ketika mempengerusikan Jawatankuasa Belia Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - yang menyaksikan mula kewujudan akademi bola sepak di setiap negeri.

Perwatakan mesranya, selain sikap merendah diri, diakui jadi kunci kemampuan Allahyarham mudah bergaul di segenap lapisan masyarakat. Juga, gigih sentiasa bekerja keras dan tidak mudah mengalah - ramuan turut membutirkan kejayaan dalam pelbagai bidang dijelajahinya.

Daripada hanya Penolong Pegawai Daerah Langkawi pada awal 1960-an, Allahyarham mendaki laluan yang dicambahkannya dengan lorekan pencapaian gemilang untuk bersara selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada pertengahan 1990-an.

Selain Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, dan pengurus paling lama skuad negeri itu, Allahyarham juga pernah sepenggal berbakti selaku Naib Presiden FAM daripada 1996 hingga 1998.

Namun bukan bola sepak sahaja bertuah merasai jasanya. Allahyarham juga pernah membuktikan wibawa sepanjang tempoh memimpin persatuan olahraga, renang, skuasy dan bowling negeri itu.

Tidak ramai juga yang tahu betapa Allahyarham, dengan bakat melukis dimilikinya, pernah juga dipilih selaku Presiden Angkatan Pelukis Kedah. Jasanya juga ketara ketika memimpin Persatuan Bulan Sabit Merah Kedah.

Allahyarham juga punya hubungan rapat dengan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah - peminat bola sepak nombor satu Kedah.

Lantas, di sebalik kesedihan, tidak salah menyifatkan pemergiannya pada ketika menghadiri majlis di Istana Anak Bukit, petang semalam, jelas tempat terbaik melambangkan keakraban hubungan itu.

Semoga roh Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil, 69 tahun pada 25 April lalu, dicucuri rahmat oleh Yang Esa. Al Fatihah.



*************************************************************************



Pemergian Basri Akil satu kehilangan

Oleh BAZLI ABDUL RAHMAN KUALA LUMPUR - Rata-rata pemimpin sukan tempatan menyifatkan pemergian bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil ke Rahmatullah, semalam sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.

Penilaian itu dibuat kerana Ahmad Basri disifatkan sebagai tokoh yang sering memartabatkan kemajuan bola sepak Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, Ahmad Basri merupakan tokoh bola sepak yang gigih dan tidak jemu berjuang untuk melonjakkan lagi kehebatan bola sepak negara.

"Jasa beliau untuk memacukan lagi pencapaian arena bola sepak negara termasuk melalui FAM dan Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) tidak boleh ditandingi individu lain.

"Saya mengkategorikan pemergian beliau sebagai satu kehilangan permata berharga buat Malaysia sendiri," ujarnya.

Allahyarham Ahmad Basri meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang, semalam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah akibat sakit jantung.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang terkejut dengan kematian Ahmad Basri, menyifatkan rakannya itu sukar dicari ganti.

"Ahmad Basri merupakan tokoh bola sepak bukan sahaja bagi Kedah tetapi buat Malaysia sendiri," jelasnya.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Dr. Ibrahim Saad pula mengkategorikan Ahmad Basri sebagai tokoh bola sepak yang mempunyai pendirian dan pendapat yang cukup bernas.

"Beliau mempunyai pegangan yang kukuh apabila menyuara pendapatnya, walaupun kadang-kadang pendirian tersebut tidak disenangi pihak lain.

"Sumbangannya kepada FAM dan Kedah FA amat besar dan ia tidak boleh diperkecilkan mana-mana pihak," tegasnya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula menyatakan, Ahmad Basri adalah pemimpin sukan yang sentiasa sarat dengan idea bernas untuk manfaat bersama.

"Sumbangannya yang ditabur kepada Kedah FA sekian lama sudah semakin kelihatan manfaatnya sekarang," ujarnya.

Jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan memberitahu, antara kelebihan Ahmad Basri ialah ketika menjadi Pengurus Bola Sepak Bawah 20 Tahun Malaysia pada tahun 1999.

"Waktu itu beliau memimpin pasukan dengan baik sehingga meletakkan skuad negara sebagai pasukan remaja yang disegani," ujarnya.

Jurulatih Bola Sepak Perlis, Irfan Bakti juga tidak terkecuali menyifatkan Ahmad Basri sebagai pemimpin yang mempunyai idea bernas.

"Setiap kritikannya terhadap arena bola sepak negara, terutama kepada FAM banyak membantu membangunkan kemajuan bola sepak negara ini sendiri," ujarnya.

Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris yang merupakan bekas pemain kebangsaan pula berterima kasih kepada Ahmad Basri yang banyak berjasa kepada kemajuan bola sepak negara.

"Semasa Ahmad Basri menjadi Pengurus Bola Sepak Sukan SEA 1989, kita berjaya meraih pingat emas tahun berkenaan," ujar Mat Zan yang juga pemain negara ketika itu.


*************************************************************************


'Pemimpin berkalibar, dihormati'


ALOR STAR - Kepulangan bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Basri Akil ke Rahmatullah merupakan satu kehilangan besar dalam arena bola sepak negara

Malah, jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Azrai Khor Abdullah tidak dapat menahan kesedihan apabila mendengar khabar mengenai kematian Ahmad Basri petang semalam.

"Kehilangan Ahmad Basri merupakan satu kehilangan besar kepada bola sepak negara kita.

"Beliau adalah individu terpenting yang membawa pasukan bola sepak negara kita mencapai ke satu tahap yang membanggakan," ujarnya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Bahiyah di sini, semalam.

Beliau dipercayai mengalami serangan jantung kira-kira 2.30 petang di Istana Anak Bukit ketika mahu menghadiri majlis pelancaran setem kenang-kenangan sempena sambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah.

Pemain bola sepak Kedah, Ahmad Fauzi Shaari, yang pernah berada di bawah pengurusan Ahmad Basri pada 2004-2006 menyifatkan, beliau boleh diibaratkan sebagai bapa kepada pasukan bola sepak negara.

Menurut Ahmad Fauzi, sepanjang berkhidmat di bawah Ahmad Basri, beliau merupakan seorang pengurus yang profesional.

"Beliau sentiasa memberikan idea-idea yang bernas kepada pemain untuk memantapkan lagi permainan mereka.

"Kehilangan beliau secara mengejut membuatkan saya seolah-olah tidak percaya beliau telah meninggal dunia," jelasnya.

Dalam pada itu, bekas ketua pasukan Kedah, Muhamad Radhi Mat Din yang berada di bawah pengurusan Ahmad Basri selama 11 tahun berkata, Ahmad Basri ibarat sebutir permata yang tidak dapat dicari ganti.

"Selama bekerja dengan Ahmad Basri, beliau merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan dihormati oleh semua pihak.

"Negara kita kehilangan seorang tokoh bola sepak yang amat bernilai dan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.


*************************************************************************


Dato' Paduka Hj. Ahmad Basri Bin Mohd Akil
(Dato' Lela Pahlawan)


Dato' Paduka Hj. Ahmad Basri bin Mohd. Akil telah dilahirkan pada 25 April 1939. Bermakna hingga tarikh ini beliau sudahpun berusia 68 tahun... Di usia emas sepertinya, beliau sepatutnya melayan karenah cucunya di rumah.

Namun atas SEMANGAT CINTAKAN sukan bolasepak, beliau mengorbankan masa & tenaganya untuk mencurah bakti membangunkan bolasepak Negeri Kedah. Kembalinya Dato Ahmad Basri ke pangkuan Pengurusan Kedah di hujung musim 2004 walaupun sekadar Penasihat Pasukan tatkala pasukan Kedah terperosok di tangga terbawah Liga Super membawa sinar baru buat pasukan Hijau Kuning.

Peningkatan mendadak pasukan Kedah apabila skuad yang sebelum ini menjadi belasahan berjaya bangkit dalam saingan Piala Malaysia hingga mara ke FINAL & menjadi Naib Juara.. Seterusnya selepas penggantungan FAM berakhir, beliau dilantik menjadi Pengurus Bolasepak Negeri Kedah. Usaha dan penat lelahnya berhasil apabila pasukan Kedah berjaya menjuarai Liga Perdana 2006 walaupun gagal di musim 2005 setelah sekadar di tempat ke-2 di belakang Selangor.

Kejayaan menjadi Juara Liga perdana melayakkan Kedah kembali ke saingan liga elit Tempatan Liga Super. Namun jodoh beliau tak panjang apabila sekali lagi digantung FAM akibat kritikan terbukanya mengenai kelemahan FAM. Namun jasa baktinya terhadap pembentukan skuad musim 2007 tidak boleh dipertikaikan. Kejayaan yang Kedah nikmati kini sedikit sebanyak hasilnya datang dari perancangan beliau.

Buat Dato' Ahmad Basri ketahuilah sesungguhnya jasa Dato' akan SENTIASA dikenang. "BAPA PEMBANGUNAN BOLASEPAK KEDAH". Ruangan ini khas untuk para penyokong mengenang jasa dan pengorbanan Dato' Ahmad Basri yang kini kian dipinggirkan.


Kerjaya:

* Kadet Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) (12 Jan. 1959)
* Penolong Pegawai Tanah (14 Mei 1959)
* Penolong Pegawai Daerah Baling (Tanah) (15 Sept. 1959)
* Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu ( 6 Jan. 1962)
* Penolong Pegawai Daerah Langkawi (1 Feb. 1964)
* Penolong Pesuruhjaya Tanah dan Galian (4 Jan. 1967)
* Setiausaha Y.A.B. Menteri Besar Kedah (3 Mei 1969)
* Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Kerajaan Tempatan) (5 Sept. 1970)
* Pemangku Pegawai Daerah Langkawi (1 Jan. 1971)
* Pemangku Yang Dipertua Majlis Bandaran Sungai Petani (1 Jan. 1974)
* Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah (9 Sept.1976)
* Bendahari Negeri Kedah (19 Mac 1977)
* Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (17 Disember 1978)
* Pemangku Pegawai Kewangan Negeri Kedah (25 Sept. 1980)
* Pegawai Daerah Kuala Muda (13 Jun 1982)
* Pegawai Daerah Kota Setar (1 Jan. 1984)
* Pengarah Tanah Dan Galian Negeri (1 Mac 1986)
* Pegawai Kewangan Negeri Kedah (3 November 1989)
* Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (28 Ogos 1992)

Penglibatan Pertubuhan Sosial dan Profesional:

* Pengerusi Angkatan Seni Lukis Kedah (1980)
* Ahli Lembaga Muzium Negeri Kedah (1980 - 1998)
* Penasihat Pasukan Bolasepak Kedah (2004)
* Pengurus Pasukan Bolasepak Kedah (2005-2006)
* Yang Di Pertua Kelab Kamera Kedah (2004/2006)
* Vice President & Golf Captain di Cinta Sayang Golf & Country Resort


Beliau dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada 28 Ogos 1992 menggantikan Dato' Paduka Haji Saad Endut. Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS) sebelum bersara pada 25 April 1996. Beliau mula bersara wajib pada 24 April 1994 tetapi kerajaan melantik semula beliau sebagai Setiausaha Kerajaan secara kontrak selama dua tahun.

Di samping itu, beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak di negeri Kedah. Antara orang penting yang membawa Kedah menjuarai Piala Malaysia. Digelar "Bapa Pembangunan Bolasepak Kedah" di kalangan para penyokong setia Hijau Kuning.

Bagi menghargai sumbangan dan jasa baktinya, beliau dianugerahkan pingat dan darjah kebesaran oleh Kerajaan Negeri. Antaranya ialah Dato' Paduka Seri Setia Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (D.H.M.S) pada Januari 1995, Dato' Setia Diraja Kedah (S.D.K.) pada Januari 1976 dan Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K) pada Januari 1972. Beliau turut dianugerahkan gelaran Dato' Lela Pahlawan pada 25 Januari 1987 (Dato' Bergelar Orang Besar Enam Belas)


*************************************************************************



Kaki DAB sudah diikat.Namun cetusan mindanya tidak mampu untuk dibendung oleh sesiapa. Kepimpinan FAM sebenarnya seakan diserang sindrom xenophobia. Perestroika di dalam FAM adalah sesuatu yang asing. Glasnost sudah mati. Siapakah sebenarnya yang perlu ditalqinkan? FAM atau DAB?

Bersama-sama ini saya sertakan kembali hasil tulisan DAB yang disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 April 2007 untuk tatapan kita bersama.


FAM harus terima suara rakyat mahu perubahan

PENDAPAT umum yang disiar melalui ruangan Forum Khas akhbar ini pada 27 dan 28 Mac, 2007 serta lain-lain kenyataan yang disiar pelbagai akhbar perlulah diterima oleh kepimpinan dan petugas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan fikiran terbuka.

Kita sudah jelak dengan alasan-alasan kurang bijak dan tidak memperlihatkan tanggungjawab kepimpinan, lantaran menyalahkan pihak lain di atas kelemahan dan kegagalan sendiri yang enggan diakui.

Pendapat ramai peminat wajar mendapat reaksi positif FAM dan bukan sekadar ulangan jawapan supaya FAM tidak disalahkan bulat-bulat apabila bola sepak merudum. Kalau FAM tidak sanggup menerima tanggungjawab ini, siapa lagi?

Munasabahkah pemain yang umumnya masih muda dan dalam proses menempah kehidupan dipersalahkan jika kita gagal dari segi pembangunan, pembentukan dan asuhan yang wajar?

Saya amat tidak setuju terhadap alasan bahawa pemain kita lembik, tidak berkualiti serta tidak bersemangat. Jika alasan ini disokong oleh kepimpinan FAM maka ia mengesahkan bahawa mereka yang terlibat amat wajar berundur memandangkan merekalah memainkan peranan utama membentuk barisan pemain.

Umum sebenarnya tidak menyalahkan Tuanku Sultan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang yang telah mencemar duli melibatkan diri dalam bola sepak negara.

Baginda berdua memang jelas telah memperlihatkan hasrat murni untuk membangun dan memajukan bola sepak negara, malah liga profesional kita bermula setelah Tuanku Sultan Pahang mengambil alih teraju kepimpinan mulai tahun 1984.

Sedihnya pihak pentadbir dan eksekutif serta anggota kepimpinan yang sewajarnya menasihati pucuk pimpinan.

Mereka juga perlu menjalankan tugas perancangan serta pelaksanaannya selain tidak dikongkong pelbagai kerenah peribadi yang menghalang kewujudan satu pendekatan yang berdaya maju.

Apakah sebenarnya punca kegagalan FAM dalam membangunkan bola sepak negara sebagaimana yang mencetuskan kekecewaan rakyat?

Perkara berikut amat wajar dijadikan asas pertimbangan kita:

* FAM sudah diberi masa lebih daripada wajar, iaitu selama lebih dua dekad tetapi masih gagal memperlihatkan kemajuan signifikan kepada prestasi bola sepak kita.
* Sebagai badan induk sukan bola sepak negara kita perlukan satu organisasi dan anggota kepimpinan yang mampu menghasilkan pemikiran dan gerak tindakan yang membina. Wujudkan sistem interaksi positif dan mengenali kelemahan diri serta bersedia menerima tanggungjawab secara terbuka dan ikhlas.
* Bola sepak profesional kita yang merangkumi Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA serta lain-lain pertandingan sampingan merupakan satu industri sukan yang memberi kesempatan kerjaya kepada pemain berbakat.

Selain daripada beraksi untuk mengharumkan nama pasukan, para pemain juga terlibat di persada antarabangsa atas nama negara.

Industri ini amat perlu didayamajukan secara berdampingan melalui kehebatan persaingan, kemantapan pengurusan peraturan dan jadual, kejayaan meningkatkan daya tarikan penonton serta liputan media massa lantaran meningkatkan pulangan tajaan, iklan dan pendapatan.

* Setakat ini FAM dilihat masih gagal mendayamajukannya terutama sekali berpunca daripada pertelingkahan jadual dan percanggahan keutamaan. Masih tidak wujud penyelarasan pendapat dan tindakan di antara jurulatih pelbagai pasukan negara dengan pengurusan pasukan profesional.

Jikalau England dan beberapa negara di Eropah yang melaksanakan liga profesional utamanya melibatkan 20 pasukan dan 38 pertandingan semusim, manakala Brazil dengan 22 pasukan dan 42 pertandingan semusim dapat menguruskan jadual tanpa pertelingkahan dan perebutan pemain untuk jadual antarabangsa dan serantau, kenapakah kita begitu jumud dalam menguruskan liga yang melibatkan hanya 13 pasukan dan bilangan pertandingan yang lebih kurang semusim?

Moga-moga timbul kesedaran, penerimaan tanggungjawab dan kerelaan FAM menerima suara rakyat yang mahukan rombakan dan perubahan.

- DATUK BASRI AKIL-

Alor Star.


*************************************************************************


Dialog: Kepemimpinan FAM perlu berubah

22 March 2001
Sumber : NST



BERITA penggantungan bekas ‘panglima perang’ pasukan bola sepak Hijau Kuning, Datuk Ahmad Basri Akil (yang saya baca pada akhbar bertarikh 15 Mac 2001) tidak sedikitpun memeranjatkan, malah sudah dijangka sebegitu rupa. Hanya kekerasan tindakan itu yang dinanti-nantikan.

Justeru, saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana bertindak tegas terhadap Ahmad Basri yang dilaporkan celupar terhadap pihak tertentu dalam pentadbiran FAM. Dengan tindakan itu, FAM menukul paku terakhir pada keranda yang disifatkan sebagai bola sepak Malaysia.

Tindakan terhadap Ahmad Basri, seorangnya supremo bola sepak yang masih bertahan akan melenyapkan peluang yang terakhir untuk memulihkan sukan popular itu di negara ini.

Ribuan anak muda di negara ini berbakat dan mereka masih meminati sukan itu biar pun apa yang berlaku di FAM, terutama mereka yang memegang jawatan yang seperti tidak mahu berbuat sesuatu untuk memulihkan kembali pencapaian sukan itu.

Saya sifatkan sukan bola sepak kita terkebelakang bukan satu, dua atau tiga tahun, malah mungkin lima atau 10 tahun.

Baru-baru ini saya mendengar jenaka yang disebutkan sebagai ‘lawak FAM!’. Bunyinya seperti berikut:”... pada satu perlawanan antarabangsa, pasukan lawan tidak akan bertanya bolehkah dikalahkan Malaysia atau tidak, sebaliknya akan bertanya berapa gol boleh disumbat ke dalam gawang Malaysia, kerana menurut mereka bola sepak baru saja diperkenalkan di Malaysia” Ini mungkin lawak, tetapi selepas meneliti perkembangan mutakhir bola sepak kita, ia ada kebenarannya.

Saya tidak mahu mengulas panjang kerana saya yakin pembaca tentu arif penyakit barah yang menyelubungi FAM sejak sekian lama. Itulah sebabnya ribuan peminat bola sepak Malaysia bertukar selera dengan mengikuti perkembangan Liga Inggeris, Serie A dan pelbagai lagi untuk mendekatkan diri mereka kepada sukan bola sepak yang mereka minati kerana apa yang mereka lihat di Malaysia begitu ketinggalan.

Ratusan malah ribuan perkataan sudah ditulis oleh pelbagai pihak, termasuk wartawan sukan mengenai sukan bola sepak yang kini kelihatan lebih artificial daripada kenyataan. Malah, wartawan Fauzi Omar yang tulisannya selalu saya ikuti seketika dulu sudah tidak lagi menukil rasa dan pandangan mengenai bola sepak Malaysia kerana saya yakin beliau kecewa, hiba, sedih dan hampa dengan apa yang dulunya disifatkan sebagai bola sepak. Sudah hilang sebutir permata dalam sukan bola sepak Malaysia berikutan layangan kad merah ke Ahmad Basri. Berikutnya mungkin ada beberapa lagi kad merah yang akan dilayangkan. Namun, bola sepak Malaysia tetap hancur.

Yang saya pelik tiadakah terasa apa-apa yang janggal dalam diri mereka yang kini menguruskan FAM. Dulu ada ura-ura mahu bersara, tetapi bak episod sedih dan hambar wayang politik, pihak yang mengacah hendak meletakkan jawatan terus berada di situ. Malah gandingan sama sejak berkurun-kurun lamanya masih kukuh di tampuk pemerintahan FAM.

Saya tidak menjangka tulisan ini akan menggerakkan apa-apa di FAM kerana saya faham bahawa siapa yang hendak meninggalkan jawatan di FAM begitu saja. Hanya mereka yang hilang akal akan berbuat demikian. Masakan tidak, kerana FAM adalah badan sukan yang paling berprestij, paling kaya kantungnya, paling gemar didekati penaja dan paling terkenal di Malaysia, lantaran sebab yang tiada kena-mengena dengan pembangunan sukan bola sepak!

Bayangkanlah selaku ahli majlis FAM, setiap mereka akan diberi pelbagai keistimewaan, termasuk tiket kelas pertama (sekurang-kurangnya kelas ekonomi) untuk setiap penerbangan, penginapan kelas pertama, layanan dan hiburan kelas pertama, liputan akhbar kelas pertama dan pelbagai lagi turut bersifat kelas pertama. Kalau ahli majlis biasa sudah begitu, bagaimana pula yang berjawatan presiden, timbalan presiden dan setiausaha?

Semuanya bersifat kelas pertama tetapi sukan itu sendiri yang meletakkan mereka di situ hanya bersifat bahana.

Bandingkan dengan status itu, misalnya Kelab Bola sepak Kampung Anak Bukit di Alor Star Kedah yang saya turut terbabit menubuhkan dan menyimpan cita-cita agar satu hari kami akan melahirkan bintang bola sepak negara seperti Akmal (juga anak kampung kelahiran Kedah) yang baru pulang dari mengasah bakatnya di Perancis dan bintang baru seperti Titus Paul.

Kita hanya boleh melahirkan mereka setiap hari, namun kalau pentadbiran sama di FAM masih berkuasa dan berterusan berkuasa kononnya atas nama mentadbir dan memajukan bola sepak di Malaysia, malanglah sekali masa depan bola sepak kita! Ini adalah kenyataan.

Berbalik kepada Ahmad Basri yang saya sifatkan sebagai “Bapa Bolasepak Moden Malaysia”, mungkin mereka tidak tahu apa yang ada dalam diri beliau. Sifat manusia begitulah, kita tidak tahu apa yang kita ada hingga tidak memilikinya lagi. Kalau hari ini beliau beralih angin, misalnya ke negara lain, contohnya kepulauan Pasifik seperti Fiji, Vanuatu dan banyak lagi negara yang baru mencapai kemerdekaan dan ingin mempertingkatkan perpaduan rakyat menerusi sukan rakyat, lantaran sukan bola sepak saya percaya beliau akan dihargai dan dinanti-nantikan sentuhannya.

Saya tidaklah mengenal secara dekat Ahmad Basri, namun yang mendekatkan saya dengan beliau adalah bola sepak yang menjadi ‘keghairahan’ bersama kami dan ribuan lagi peminat sukan ini di Malaysia. Saya tidak boleh lupa sampai bila-bila, bagaimana kami secara tidak sedar mengalirkan air mata kegembiraan di Stadium Merdeka pada 1991 selepas Kedah menjulang Piala Malaysia untuk pertama kali selepas berhempas pulas selama empat tahun sebelum itu (kerana menjadi Naib Juara pada 1987, 1988 dan 1989, jatuh ke Divisyen II pada 1990 dan terus menjadi juara Divisyen Dua dengan rekod tanpa kalah) yang semuanya berakhir dengan kehampaan.

Kami berpeluk keriangan, menitis air mata gembira selepas berkunjung ke Kuala Lumpur secara berkonvoi, berkampung di pekarangan stadium, masuk ke stadium pada jam 4.30 petang, pada hal perlawanan hanya akan bermula pada jam 8.30 malam (ada tahunnya kami kuyup selama beberapa jam dalam hujan lebat untuk mendapat tempat duduk terbaik di tangga ayam di teres Victoria Institution) dan pulang dengan penuh kehampaan apabila hanya bergelar naib juara selama tiga tahun berturut-turut.

Namun, apabila Kedah Juara, kami berada di Kuala Lumpur hingga pagi esoknya tidak tidur, meraikan pemain di Hotel Mirama, berkenduri, dan bersyukur ke hadrat Allah kerana mengizinkan pasukan kami menjuarai Piala Malaysia dan pulang untuk menantikan wira kami di Lapangan Terbang Kepala Batas, Alor Star. Ketika itu, bola sepak Malaysia dikatakan menuju zaman kebangkitan. Namun, mimpi indah itu dicemari dengan zaman kemerosotan bola sepak dari ketika itu hinggalah sekarang tak kunjung padam.

Ketika itu, saya dan rakan berpendapat bahawa kebangkitan bola sepak Malaysia bukan kerana FAM tetapi kerana insan bernama Ahmad Basri.

Namun, kita juga sedia maklum apa yang berlaku di Kedah selepas pemerintahan baru sejak 1996 kerana Ahmad Basri disingkirkan secara perlahan-lahan dan namanya juga ingin dipadam daripada persada bola sepak Kedah.

Disebabkan politik, bola sepak hancur dan yang menjadi mangsa ialah anak-anak muda yang masih menyepak bola sepak di kampung dan desa. Juga kerana politik, program jangka panjang bola sepak yang diilhamkan beliau berkubur tanpa nesan.

Sebagai manusia Ahmad Basri mungkin mempunyai kelemahan tertentu namun, hari ini beliaulah satu-satunya peluang yang kita ada untuk menyelamatkan bola sepak yang selalunya disifatkan sebagai maruah negara! Dengan menutup mulut Ahmad Basri selama-lamanya (kerana beliau sudah menyatakan hasrat untuk bersara sepenuhnya daripada bola sepak), maka peluang sekumit yang ada pada tangan kita sudah dileburkan.



VALENTENO

Anak Bukit, Alor Setar,

Kedah.


*************************************************************************

"Biar Jasa Jadi Kenangan"

Yakinkanlah diri sendiri
Berjuanglah sejiwa murni
Tekun berani seungguh hati
Demi sukan mengharum negeri,

Biar jasa jadi kenangan
Hijau Kuning lambang kemegahan
Jelapang padi tempat sanjungan
Negeri Kedah Darul Aman,

Kedah! Kedah pantang kalah!
Walau sakit jatuh dan rebah
Bangun lantas semula gagah
Bujur lalu melintang patah,

Hijau Kuning tanahku
Darulaman negeriku
Hijau Kuning darahku
Negeri Kedah negeriku..
Negeri Kedah negeriku...

Song : Dato' Paduka Hj. Ahmad Basri Mohd Akil

Lyrics & Melody : Freddie Fernandes

*************************************************************************